Transformasi tanah rancangan Felda

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan menyambut baik langkah Felda mentransformasikan tanah rancangan Felda sebagai bandar pintar melalui pelancaran Felda 2.0 dengan memilih Felda Lurah Bilut, Bentong sebagai projek perintisnya tahun depan.


Ketua Penerangannya, Asrullah Affendi Abdullah berkata, pelancaran Felda 2.0 dilihat sebagai mendepani warga Felda ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50) apabila memberi fokus kepada aspek sosiologi membentuk komuniti pintar dalam kalangan peneroka.


Menurutnya, pemilihan Felda Lurah Bilut sebagai projek perintis amat bersesuaian dalam  memangkinkan kembali sejarah penubuhannya sebagai  tanah rancangan Felda pertama di negara ini.


“Langkah ini cukup bermakna kepada keseluruhan warga Felda di dalam membuka dimensi industri digital di kawasan luar bandar.


“Perkara ini perlu diberikan perhatian oleh semua pihak termasuk generasi baru Felda di tanah rancangan dengan menjadikan pelancaran Felda 2.0 ini sebagai satu kelebihan dan ruang yang bermakna untuk mengetengahkan pelbagai produk-produk luar bandar,” katanya.


Asrullah Affendi berkata, ia merangkumi sektor pelancongan digital kawasan Felda yang boleh dipromosikan kepada masyarakat luar termasuk pelancong-pelancong asing agar mereka lebih mengenali Felda dan warganya dengan lebih dekat.


“Bagaimanapun kita berharap Felda terus memperluaskan strategik program ini  di tanah rancangan Felda yang lain.


“Ini supaya, peluang industri digital ini nanti dapat dimanfaatkan sepenuhnya generasi baharu Felda pada masa akan datang menjelang TN50,” katanya.


Katanya, beliau yakin generasi Felda yang berada di universiti sama ada di  dalam dan luar negara mampu menterjemahkan Felda 2.0 ini sebagai inovasi baharu dengan penghasilan pelbagai produk bukan sahaja kepada warga Felda malah boleh dikongsi kepada seluruh rakyat Malaysia.


“Pekara ini dinyatakan sendiri Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad didalam Dialog TN50 baru-baru ini yang mahukan warga Felda seluruh negara menjadikan Felda 2.0 sebagai pelan perancangan baru Felda mendepani TN50,” katanya.

 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]