Tukang cuci baru dapat gaji sebulan

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Sebahagian tukang cuci di lima sekolah di Kuala Kedah, di sini, yang tidak menerima bayaran gaji sejak dua bulan lepas akhirnya menerima tunggakan untuk September.


Menurut Siti Hajar Kasim, 51, dia menerima gaji kira-kira RM850 selepas nasib menimpa 35 tukang cuci termasuk dirinya mendapat perhatian media.


“Kalau ikutkan memang tak cukup, tapi sekurang-kurangnya boleh bayar bil air dan api dahulu.


“Itu pun mak cik dah habis RM600, untuk jelaskan tunggakan bil itu. Yang tinggal, dalam tangan hanya RM200 sahaja lagi untuk menampung kos hidup kami seisi keluarga,” katanya.


Katanya, kini dia dan rakan-rakan memohon tunggakan bayaran lain dijelaskan sepenuhnya bagi membolehkan mereka membeli keperluan harian.


“Minta tolong, jangan lupa bayar lebihan gaji kami untuk Oktober dan November sebab semua orang tetap ke tempat kerja dan menjalankan tugas seperti biasa, walaupun tak terima upah,” katanya.


Tambahnya, kumpulan pekerja perkhidmatan pembersihan bangunan dan kawasan sekolah itu merayu nasib mereka mendapat pembelaan dan masalah gaji selesai segera.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan nasib 35 tukang cuci sekolah di daerah ini mendakwa sebuah syarikat gagal membayar gaji mereka sejak September lepas melibatkan kos keseluruhan lebih RM63,000.


Difahamkan, masalah melibatkan gaji tukang cuci lima sekolah di Kuala Kedah itu bermula sejak Jun apabila gaji mereka dibayar secara berperingkat.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]