Undang-undang berkaitan bahasa dijangka dipinda

in Nasional by


TUMPAT – Pindaan undang-undang berkaitan bahasa Melayu untuk memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memantau penggunaan bahasa itu dalam setiap urusan, dijangka dapat dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat.


Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas berkata, kertas draf pindaan undang-undang tersebut telah disediakan dan akan dibawa ke Kabinet oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum dibentangkan di Parlimen.


“Melalui pindaan tersebut, DBP akan diperuntukkan kuasa untuk membetulkan masalah penggunaan bahasa melalui tindakan penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program Semarak Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru di sini, hari ini.


Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Abdul Adzis berkata, DBP berhadapan dengan bermacam-macam kerenah bahasa kerana ramai yang tidak menggunakan bahasa Melayu yang betul dan pihaknya tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan sekadar memberi nasihat.


Beliau berkata, tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan seperti meluluskan pemasangan iklan di kawasan masing-masing.


Baru-baru ini, Mahdzir dilaporkan berkata, sebuah Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa penggunaan Bahasa Melayu dalam setiap urusan akan ditubuh dan antara tugasnya ialah membincangkan pindaan undang-undang sedia ada berkaitan bahasa Melayu serta memberi kuasa kepada DBP memantau penggunaan bahasa Melayu dalam penulisan.


Sementara itu, beliau berkata semangat cinta kepada bahasa kebangsaan itu perlu ditanam dalam kalangan rakyat supaya mereka berbangga menggunakan bahasa itu dalam semua urusan seharian.- Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]