Felcra perluas produk sardin, tuna Yuya

in Bisnes by


FELCRA Bhd memperluaskan pasaran produk sardin dan tuna berjenama Yuya keluarannya di pasaran tempatan bagi memenuhi keperluan pengguna yang sentiasa mengutamakan barangan berkualiti dan halal.


Pengerusinya, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, kedua-dua produk itu kini boleh dibeli di 24 rangkaian pasar raya besar Mydin di seluruh semenanjung, manakala bagi pembeli di Sabah, mereka boleh mendapatkannya di beberapa pasar raya utama mulai awal Disember ini dan di Sarawak bermula Januari depan.


Menurutnya, selain pasaran tempatan, Felcra juga berhasrat memperluaskan produk itu ke pasaran antarabangsa secara berperingkat melalui anak syarikatnya, Felcra International Venture (FIV), khususnya ke Hong Kong, China, Jepun, Timur Tengah selain negara-negara Asean.


“Kami telah mengadakan promosi di Hong Kong, Oktober lalu dan maklum balas diterima daripada beberapa syarikat tempatan di sana cukup memberangsangkan. Produk sardin dan tuna Yuya dijangka menembusi pasaran Hong Kong bermula Disember ini,” katanya dalam  kenyataan, semalam.


Produk sardin dan tuna Yuya adalah keluaran anak syarikat Felcra, Felcra Livestock & Agri Product Sdn Bhd (FLAP) dengan  kerjasama beberapa rakan strategik dari Indonesia dan Filipina.


Bung Mokhtar berkata, produk sardin dan tuna Yuya memperoleh Pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setelah melalui proses kelulusan yang cukup ketat di peringkat pengilangan dan pembuatannya.


“Ini penting bagi menjamin produk berkenaan bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi bersih, suci dan selamat kepada pengguna,” katanya yang juga Pengerusi FLAP.


Produk ini juga katanya, tidak mengandungi sebarang bahan pengawet dan menggunakan ikan-ikan segar tanpa sejuk beku, sebelum diproses di peringkat kilang.


Menurutnya, kini pelbagai produk berjenama Yuya mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa, antaranya seperti Tuna Sambal Pedas (Spicy Chili); Tuna Rendang (Spicy Coconut Gravy); Tuna Sos Bawang Berempah (Spicy Onion Sauce); dan  Sotong Goreng Bercili (Squid Fried Chili). – Bernama


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]