Insiden C130: Juruterbang hanya ada dua pilihan

in Semasa by


LABUAN – Berfikiran positif dan tidak panik antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zul Helmie Zainuddin mendaratkan Hercules C130 tanpa gear pendaratan di Lapangan Terbang Labuan di sini semalam.


Zul Helmie, 31, yang mempunyai pengalaman 10 tahun dalam penerbangan dengan tujuh tahun mengendalikan pesawat pengangkut jenis itu berkata, beliau bersyukur pada Allah kerana memberinya kekuatan dan ketenangan ketika berdepan masalah teknikal pesawat tersebut.


“Latihan simulator yang kami jalani secara berterusan membolehkan kami sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan dan paling penting mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang membantu kami mendarat dengan selamat,” katanya pada sidang media di Pangkalan TUDM Membedai di sini hari ini.


Katanya, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Labuan untuk ke Kuching, Sarawak  tanpa sebarang masalah pada 11 pagi namun tiba-tiba mengalami kerosakan pada gear pendaratan utama di sebelah kanan.


“Sebagai juruterbang pesawat, saya bertanggungjawab memutuskan sama ada meneruskan penerbangan atau tidak dan saya memutuskan untuk tidak berbuat demikian. Sebaliknya saya memutuskan untuk terbang mengelilingi pulau Labuan selama enam jam sambil cuba menyelesaikan masalah itu berdasarkan SOP,” katanya.


Katanya, masalah itu gagal diselesaikan di udara dan disebabkan pesawat hampir kehabisan minyak beliau memutuskan untuk mendaratkan pesawat berkenaan hanya menggunakan gear pendaratan depan.


“Berdasarkan senarai semak kecemasan, kami sebenarnya ada dua pilihan iaitu mendarat tanpa sebarang gear pendaratan dan mendarat menggunakan gear pendaratan depan sahaja.


“Saya memutuskan pilihan kedua atas pandangan cara itu lebih selamat kerana saya masih boleh mengawal haluan pesawat dan impaknya mungkin tidak terlalu kuat ketika mendarat,” katanya.


Dalam kejadian 5.15 petang semalam, pesawat Hercules C120 itu tidak dapat mendarat secara normal kerana mengalami kerosakan teknikal gear pendaratan dan selepas berlegar-legar di udara selama enam jam pesawat akhirnya melakukan pendaratan cemas dengan selamat.


Pesawat itu yang membawa sembilan orang termasuk juruterbang dalam tugasan latihan lanjutan ke Kuching dan masalah teknikal tersebut dikesan sejurus berlepas.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]