Modal RM50 dapat pelbagai hasil laut di Fiesta NBOS

in Nasional by


BAGAN DATUK – Bermodalkan wang kurang daripada RM50, orang ramai boleh mendapat pelbagai hasil laut pada acara lelong ikan segar anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) hari ini.


Disebabkan itu, lebih 200 pembeli sanggup berpanas di bawah terik mentari untuk mendapatkan harga runtuh tersebut yang diadakan bersempena Program Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini.


Lebih menyeronokkan lagi, harga lelongan ditawarkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas merasmikan fiesta sehari itu.


Bagi K.Murugan, 53, dari Simpang Empat, Hutan Melintang, beliau dapat membeli ikan bawal hitam, ketam dan udang yang dianggarkan seberat empat kilogram (kg) dengan hanya RM39, panas sementara itu tidak mengapa.


“Bayangkan kalau bukan sebab jualan lelong ini, sekilogram udang sudah RM38, tapi hari ini saya dapat beli macam-macam dengan harga murah.


Dalam pada itu, Fatimah Omar, 51, dari Changkat Lada, Pasir Salak gembira kerana dapat membeli pelbagai ikan dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.


“Tadi masa tunggu, memang nak beli sotong, ketam, ikan atau apa sahaja yang harga mahal, tapi yang berjaya dapat cuma ikan nyok-nyok, siakap dan temenung.


“Biasalah bila harga dah murah macam ni memang orang berebut, jadi apa yang dapat ni pun dah cukup…semua ni harga dalam RM30,” katanya.


Sementara itu, Zamil Zukie, 43, dari  Selangor menganggap dirinya bertuah kerana berjaya membeli seekor ikan senangin yang dianggarkan seberat lebih empat kilogram dengan harga RM70 yang ditawarkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri.


“Masa timbalan perdana menteri umum harga lelong, saya berada di hadapan sekali, daripada harga RM203 ikan ni (senangin) dapat beli pada harga RM70, jadi saya anggap ia tuah berganda,” katanya.


Pada jualan ikan segar lelong itu, sebanyak tiga tan pelbagai hasil laut habis dijual dalam masa tidak sampai dua jam. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]