Mugabe pernah terima rawatan di Malaysia

in Nasional by


BAGAN DATUK – Kerajaan mengesahkan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe pernah ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta di ibu negara sebelum ini.


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Mugabe yang berusia 93 tahun pernah datang ke negara ini dan menerima rawatan sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.


Ahmad Zahid turut memaklumkan kerajaan tidak mempunyai sebarang halangan untuk tidak membenarkan Mugabe menerima rawatan di negara ini ekoran kerajaan sedang menggalakkan sektor pelancongan kesihatan.


“Oleh sebab itu, sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan rawatan dalam negara ini amat digalakkan.


“Tetapi pada masa sama kita juga tidak akan mencampuri urusan politik dalaman negara individu yang menerima rawatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia, di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, hari ini.


Ahmad Zahid berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan media antarabangsa yang mendakwa Mugabe akan ke Malaysia atau Singapura bagi mendapatkan rawatan masalah kesihatannya.


Media turut melaporkan Mugabe yang memerintah Zimbabwe hampir empat dekad itu pernah ke Singapura bagi mendapatkan rawatan kanser dan katarak.


Mugabe kini sedang menerima tekanan peletakan jawatan daripada pihak tentera Zimbabe namun beliau masih berdegil walaupun Afrika Selatan telah menghantar akil mereka untuk membantu rundingan antara Mugabe dan pihak tentera.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]