Pakai tudung tarik pelancong

in Edisi by


KOTA BHARU- Pemakaian tudung oleh pekerja hotel di Kelantan mampu menarik perhatian pelancong asing, malah ada dalam kalangan mereka yang sedia memakainya sebaik sahaja tiba di negeri ini.


Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (Mybha), Wan Fauziah Wan Mamat berkata, berdasarkan pengalamannya dalam bidang perhotelan di negeri ini, majoriti kakitangan hotel mengenakan tudung dan berpakaian sopan semasa bertugas.


Menurutnya, awal tahun baru-baru ini, ada pelancong dari Perancis datang ke Hotel dan Apartmen Khalifa Suites bukan sahaja terpegun dengan pemakaian tudung yang digayakan oleh pekerja, sebaliknya mereka turut belajar mengikat skarf sebagai tanda hormat pemakaian umat Islam di sini.


“Sesuai dengan tuntutan syariah dengan gelaran ‘Serambi Makkah’ di Kelantan, tidak timbul masalah bertudung, malah kita yakin, pengusaha hotel bajet bukan Islam juga sporting memberi kebenaran pekerja Islam mengenakan tudung semasa bertugas,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui.


Beliau yang juga Pengurus Besar Hotel dan Apartmen Khalifa Suites, juga Hotel Butik Aslah, di sini, mengakui, pemakaian tudung langsung tidak menjejaskan imej perkhidmatan di hotel, sebaliknya ia menjadi tarikan utama pelancong untuk datang ke Kelantan, sekali gus ke Malaysia kerana tindakan berkenaan nampak lebih Islamik dan praktikal.


“Pelancong asing ini mengatakan, dengan turut sama memakai tudung semasa berjalan-jalan di bandar Kota Bharu, ia dapat mengelak kepala dari cuaca panas, malah ada di antara mereka menyediakan tudung di dalam beg tangan.


“Staf yang tidak pakai tudung di hotel di Kelantan rasanya sudah tiada, berbanding pada zaman dahulu, pekerja sekarang bijak menggayakan personaliti bertudung, malah mereka nampak lebih elegan dan berkeyakinan,” katanya.


Menariknya, kata Wan Fauziah, di Kelantan, umat di negeri ini sudah terdidik sejak kecil untuk mengenakan tudung dan amalan berpakaian menutup aurat membolehkan pengusaha hotel di negeri ini faham dan peka dengan perkara tersebut.


“Di Kelantan, pakai tudung bukan ‘trend’ tetapi sejak kecil, kalau ada yang tidak bertudung, mereka dengan sendirinya berasa janggal, baik semasa berada di rumah, mahupun ketika berada di luar rumah,” katanya.


Katanya, sejak 11 tahun Hotel dan Apartment Khalifa Suites yang berada di hadapan Masjid Muhammadi (Masjid Negeri) memberi perkhidmatan hotel, pihak pengusaha hotel tidak melarang sebaliknya menggalakkan pekerja berhijab.


“Biasanya semasa menemu duga calon pekerja, kami menasihatkan bakal pekerja yang datang tidak bertudung dan bersopan supaya mengenakan tudung bagi memberi imej positif kepada syarikat,” katanya.


Beliau turut menggesa, sekiranya masih lagi ada pengusaha hotel bajet di negeri ini, tidak kira sama ada beragama Islam atau tidak, mereka diminta faham dan menghormati sekiranya ada pekerja yang mahu bertudung bekerja di syarikat berkenaan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]