Peniaga lebih selesa dengan pasar baharu

in Edisi by


TANAH MERAH – Lebih 700 peniaga Pasar Besar Tanah Merah kini dapat berniaga dalam keadaan lebih selesa selepas projek naik taraf pasar itu yang bermula Disember lalu sudah siap.


Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, projek tersebut melibatkan kos lebih RM1 juta yang disalurkan kerajaan pusat melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).


Menurutnya, projek itu membabitkan kerja naik taraf bangku dan kiosk peniaga, membaiki struktur bangunan rosak, mengecat dan pendawaian elektrik.


“Rentetan sejarah projek naik taraf ini bermula bila saya mohon peruntukan daripada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.


“Hasilnya, beliau meluluskan RM1 juta untuk naik taraf Pasar Besar Tanah Merah dan RM2 juta lagi untuk naik taraf Pasar Besar Gual Ipoh yang kini dalam proses tender,” katanya pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Naik Taraf Pasar Besar Tanah, di sini, hari ini.


Simbolik penyerahan projek itu disempurnakan Timbalan Pengarah Teknikal JPP Kelantan, Ir. Zailan Ab Rahman yang menyerahkan replika kunci kepada Timbalan Ketua Jajahan, Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha.


Ikmal Hisham berkata, seterusnya beliau akan berbincang dengan kementerian berkenaan dan MDTM bagi mencari peruntukan tambahan untuk menambah baik lagi pasar besar itu.


“Kita bersyukur dengan apa yang ada tetapi saya tahu, masih banyak lagi kemudahan di pasar ini yang perlu ditambah baik.


“Jadi, saya akan bincang dengan kementerian dan MDTM untuk tambah RM1 juta lagi bagi melengkapkan kerja naik taraf pasar ini yang dijangka dapat dilaksanakan tahun depan,” ujarnya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]