Program Pertanian Bandar bawa banyak kebaikan

in Nasional by


SHAH ALAM – Program Pertanian Bandar merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan amalan pertanian di kawasan perumahan bandar sekaligus dapat mendatangkan pendapatan sampingan kepada rakyat.


Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, program berkenaan bukan sahaja memberi pulangan dalam bentuk pendapatan wang malah dalam bentuk sumber makanan seperti sayur-sayuran serta ulam-ulaman.


“Matlamat utama program pertanian bandar ini ialah bagi membantu isi rumah bandar meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri dengan sokongan jabatan dan agensi yang terlibat.


“Jalinan kerjasama antara Pejabat Pertanian Daerah dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Persekutuan (JPPP) adalah langkah positif bagi menggalakkan aktiviti pertanian bandar ini.


“Bukan sahaja dapat menghijaukan persekitaran malah dapat menyatupadukan penduduk dan membentuk komuniti sihat, mesra danproduktif selain menyokong kelestarian persekitaran bandar,” katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Pelancaran Program Pertanian Bandar Peringkat Dun Batu 3 yang melibatkan 13 komuniti di mana seramai 429 peserta terlibat dalam program berkenaan.


Hadir sama, Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman; Ketua Umno Shah Alam, Datuk Azhari Shaari dan Ketua Pemuda Umno Shah Alam, Datuk Mua’adzam Shah Yaakob.


Tajuddin turut menjelaskan sehingga kini, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Pertanian Malaysia (DoA) telah berjaya melaksanakan Program Pertanian Bandar di 3,218 lokasi projek dengan penglibatan seramai 75,651 peserta seluruh negara.


“Bagi tahun 2017 pula, seramai kira-kira 17,000 peseta melibatkan 480 lokasi dijangka akan terlibat dalam program ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan beban sara hidup penduduk bandar,” katanya.


 


 




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]