Syarikat dapat projek kerajaan perlu sedia kad laporan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Syarikat yang mendapat projek-projek kerajaan akan diminta menyediakan kad laporan bagi melihat pembabitan mereka dalam membantu rangkaian syarikat bumiputera.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ini bagi membolehkan kerajaan menilai sejauh mana syarikat berkenaan membantu menjadi katalis kepada pembangunan ekonomi Bumiputera.


“Paling tidaknya ada sebahagian daripada kerja-kerja untuk menyiapkan projek (kerajaan) tersebut diagihkan kepada syarikat kontraktor Bumiputera,” katanya kepada pemberita di luar Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.


Katanya, kad laporan berkenaan telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan pada masa ini.


Terdahulu, ketika berucap pada konvensyen berkenaan, Johari berkata kerajaan sentiasa membantu pembangunan usahawan bumiputera yang kebanyakannya terlibat dalam industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Sebagai contoh, katanya melalui pembentangan Bajet 2018, pelbagai insentif disediakan kerajaan kepada PKS termasuk RM200 juta bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp serta RM500 juta untuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga.


Beliau berkata PKS memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara termasuk menyediakan tujuh juta peluang pekerjaan selain menyumbang hampir 37 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – Bernama




 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]