Bangkai penyu dalam sampah hanyut

in Edisi Pahang by


PULAU TIOMAN – Bangkai seekor penyu ditemui dalam keadaan terapung bersama sampah-sampah di kawasan Pulau Rengis, di sini, semalam.


Ia hanyut bersama pelbagai jenis sampah seperti sisa kayu, daun, pokok nipah, plastik, botol dan tali yang dipercayai dari daratan akibat hujan lebat baru-baru ini.


Koordinator Reef Check Malaysia (RCM), Alvin Chelliah, berkata, selepas dimaklumkan oleh pemandu pelancong berkaitan penemuan itu, beliau menghubungi Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang.


Menurutnya, sepasukan JTLM Pahang telah ke lokasi dan mengambil bangkai penyu bersaiz 96 sentimeter (CM) panjang dan lebar 87 CM itu sebelum menghantarnya ke Juara Turtle Project (JTP) untuk tindakan lanjut.


“Sukarelawan JTP telah membedah bangkai penyu itu bagi mencari punca kematian namun tidak menemukan sebarang objek di dalam badan yang menjadi punca kematiannya.


“Pada bahagian cengkerang juga tiada kerosakan, jadi kami percaya ia kemungkinan disebabkan tersangkut pada pukat dan lemas di dalam laut, selepas selesai bangkainya ditanam di berhampiran JTP,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam pada itu, Alvin turut memberitahu bahawa tahun ini beberapa kali pihaknya telah menemui penyu mati di pulau peranginan itu.


Katanya, berdasarkan rekod RCM, sebanyak kira-kira tujuh ekor penyu mati telah ditemui bagi tahun ini yang kebanyakannya mati dipercayai berpunca akibat tersangkut pada pukat.


“Ada antara bangkai penyu ini yang pernah dibedah bagi memastikan punca kematian dan kami mendapati banyak plastik serta tali dalam badannya.


“Disebabkan ini kita menyeru semua pihak, kumpulan atau individu agar tidak membuang sampah ke laut bagi mengelak menjadi punca kepada kematian penyu dan hidupan laut lain,” katanya.


 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]