Beruk cipta rekod petik kelapa 22 biji seminit

in Edisi Terengganu by


MARANG – Sebanyak 22 biji kelapa dalam tempoh seminit berjaya dipetik seekor beruk digelar ‘Wok Isa’ sekali gus mencipta rekod baharu dalam Pertandingan Beruk Petik Kelapa Terpantas di Kampung Alur Wan Syed, di sini, hari ini.


Ketangkasan beruk peliharaan Mohd Zulkifli Mat Idris, 42, itu berjaya memenangi hadiah utama berupa wang tunai RM300 dengan menewaskan 26 beruk lain dari Terengganu dan Kelantan bagi kategori utama.


Namun, kemenangan ‘Wok Isa’ tidak memeranjatkan kerana berbanding beruk lain, ia mampu untuk memetik hingga 500 biji kelapa setiap hari, berbanding beruk lain kebiasaannya sekitar 200 kelapa sehari.


Mohd Zulkifli dari Bachok, Kelantan itu berkata, haiwan peliharaannya itu dibelinya pada harga RM2,000 kira-kira dua tahun lalu sudah memasuki tujuh pertandingan dan pernah beberapa kali menang pertandingan.


“Saya mengambil masa kira-kira seminggu untuk serasi dengan ‘Wok Isa’ yang sudah terlatih memetik kelapa. Ia mudah dijaga. Makanannya setiap hari ialah nasi dan susu, selain turut diberi makan pisang.


“Saya gembira ‘Wok Isa’ menang dalam pertandingan ini,” kata bapa lapan anak yang turut memiliki seekor lagi beruk digunakan untuk memetik kelapa diberikan nama Kuning dan turut menyertai pertandingan sama.


Pertandingan yang disertai 60 beruk dari Terengganu dan Kelantan terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori A menerima hadiah RM300 bagi tempat pertama, RM200 (kedua) dan RM150 (ketiga).


Juara Kategori B pula menerima RM200, RM150 (kedua) dan RM100 (ketiga).


Pemenang Kategori C pula menerima RM150, RM100 (kedua) dan RM50 (ketiga) manakala setiap pemenang tempat keempat hingga keenam bagi setiap kategori menerima hamper.


Namun bagi pengunjung yang memenuhi gelanggang pertandingan bukan jumlah kelapa yang berjaya dijatuhkan menjadi perhatian mereka tapi aksi beruk membuatkan pengunjung tidak kering gusi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]