Faiz anak yang kuat

in Edisi by


KOTA BHARU – Ibu Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, 17, menganggap remaja itu sebagai seorang anak yang kuat selepas menunjukkan tanda positif untuk sembuh daripada kecederaan parah dalam kemalangan jalan raya pada Jun lalu.


Jahsuriawany Mustapha, 45, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu baharu sahaja menyambut hari jadinya yang ke-17 pada 14 November lalu.


“Tarikh itu juga merupakan tarikh keramat buat diri Faiz apabila genap setahun dia berjaya menghafaz khatam al-Quran. Akibat kemalangan itu, Faiz juga tidak dapat mengikut peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.


“Walaupun dia tidak dapat mengambilnya kali ini saya harap dia dapat menduduki peperiksaan apabila dia sihat.  


“Doktor yang merawatnya yakin bahawa dia mampu berjalan nanti,” ujar Jahsuriawany.


Pada 2 Jun lalu, van yang dinaiki 14 pelajar dan guru Maahad Tahfiz Al Hashimi dalam perjalanan ke program tadarus al-Quran di Kota Bharu telah terbabas dan merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kuala Krai.


Kejadian itu meragut nyawa tujuh mangsa iaitu Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14; Sarifuddin Muhammad, 14; Ahmad Farhan Zulkifli, 14 dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17.


Muhammad Faiz Hafizuddin adalah salah seorang daripada tujuh pelajar dan guru sekolah itu yang terselamat dalam tragedi itu namun mengalami koma sebelum tersedar pada Julai lalu.


Wanita itu berkata, kecederaan di bahagian saraf tunjang kerana patah di dua tempat pada tulang belakang mengakibatkan badannya tidak boleh bergerak dan memerlukan bantuan orang lain untuk mandi dan sebagainya.


“Namun kini pergerakannya sedikit aktif apabila mampu menggerakkan kedua-dua tangan, kepala boleh pusing perlahan-lahan malah kami gembira melihatnya melemparkan senyuman.


“Dia juga sudah boleh mengikut cakap adik-beradiknya, kalau kami sebut adik atau abang dia boleh ikut. Malah dia boleh cam Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim yang dipanggilnya ‘Abi’,” katanya.


Faiz kini dalam proses untuk mendapatkan kad Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi melayakkannya untuk menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]