Graduan perlu lengkapkan diri penuhi kehendak industri

in Nasional by


MELAKA – Graduan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya perlu melengkapkan diri mereka bagi memenuhi keperluan industri, kata Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.


Beliau berkata, graduan perlu mempersiapkan diri mereka sebelum memasuki alam pekerjaan berikutan cabaran untuk peluang pekerjaan bukan satu perkara yang mudah dalam dunia kompetitif hari ini.


“Pembelajaran tidak hanya terhenti di universiti sahaja dan graduan juga perlu menguasai bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa antarabangsa dan satu kelebihan dalam berdepan persaingan dengan graduan lain dalam pasaran kerja,” katanya.


Mohd Khalil yang merupakan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkata demikian pada majlis konvokesyen ke-13 universiti itu, di sini,hari ini.


Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.


Beliau berkata, bagi mendepani Revolusi Industri 4.0, graduan UTeM perlu menambah ilmu dari segi perspektif dan mengunakan pendekatan kejuruteraan baharu.


Mohd Khalil turut memberi penghargaan kepada ibu bapa kerana bersusah payah menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di UTeM.


Beliau berkata, kerajaan memberi peruntukan yang banyak dalam pelajaran yang menunjukkan kerajaan mahu rakyat mendapatkan ilmu untuk masa depan.


Dalam pada itu, Mohd Khalil berkata UTeM perlu mengambil langkah yang sesuai untuk lebih dikenali di peringkat Asia dan antarabangsa.


Seramai 3,126 graduan dalam pelbagai bidang menerima ijazah dan diploma pada majlis konvokesyen ke-13 UTeM iaitu 35 penerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana (265), ijazah sarjana muda (2,561) dan diploma (265). – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]