Kelonggaran diberikan ibarat jerat buat penjawat awam

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan pengecualian pengiraan pinjaman perumahan dalam pendapatan bersih penjawat awam sebagai jerat yang cukup berbahaya.


Beliau berkata, kelonggaran itu boleh mengakibatkan golongan berkenaan terjerumus dalam bebanan hutang yang lebih meruncing tatkala gaji mereka langsung tiada kenaikan dan jauh sekali menerima bonus lumayan.  


“Kita bukan menolak kelonggaran diberikan. Cuma dalam hal ini, kos sara hidup ditanggung oleh penjawat awam pasti akan bertambah berlipat kali ganda selepas membuat pinjaman perumahan.


“Sedangkan seperti kita sedia maklum, pendapatan mereka terhad. Kemudian tiada elaun kerja lebih masa (OT) manakala bonus diterima pula hanya RM1,500. Itu pun dibayar sebanyak dua kali,” katanya.


Justeru kata Aminuddin, kerajaan sepatutnya memikirkan jalan atau alternatif lebih sesuai untuk membantu golongan terbabit memiliki rumah yang selesa tanpa membebankan mereka.


“Pertama sekali, gaji penjawat awam mesti dinaikkan. Seterusnya, bina rumah mampu milik yang harganya tidak lebih RM200,000 khusus untuk mereka.


“Tapi kalau dengan harga pasaran sekarang, nampaknya mereka akan lebih terbeban. Kita khuatir situasi ini akan memaksa mereka pilih jalan yang tidak sepatutnya untuk menampung hidup, misalnya terjerumus dalam gejala rasuah.


“Sebab itu kita tertanya-tanya juga, sama ada kelonggaran diberikan benar-benar untuk membantu penjawat awam atau sebenarnya hendak membantu pemaju perumahan?” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Media melaporkan sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa memaklumkan bahawa penjawat awam kini layak mendapatkan pinjaman perumahan walaupun potongan pinjaman mereka melepasi 60 peratus daripada pendapatan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]