'KJ kecam kenyataan PM Singapura'

in Nasional by


SHAH ALAM – Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang disifatkan memperlekehkan permohonan Malaysia untuk membuat semakan berhubung keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menyerahkan Pulau Batu Puteh kepada negara berkenaan.


Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tuduhan Hsien Loong kononnya niat sebenar tuntutan Malaysia itu disebabkan pilihan raya umum makin hampir merupakan tuduhan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan hubungan baik Malaysia dan Singapura.


“Untuk makluman Hsien Loong semasa penemuan fakta baharu pada Ogos 2016, PRU Malaysia masih belum diumumkan.


“Pemfailan pada 2 Februari 2017 pula dibuat bagi memberi masa penyediaan dokumen dalam tempoh masa enam bulan yang diberikan. Sebagai peringatan , Parlimen Malaysia masih belum dibubarkan sehingga hari ini, lebih setahun dari tarikh penemuan fakta baharu tersebut,” ujar Khairy dalam satu kenyataan .


Semalam, Hsien Loong dalam ucapannya di kongres PAP mempertikai tindakan Malaysia mencabar keputusan ICJ pada 2008 yang memberikan Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca kepada Singapura.


Pada 2 Februari 2017, Malaysia memfailkan permohonan bagi semakan penghakiman ICJ mengenai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge selepas penemuan 3 dokumen oleh Malaysia dalam simpanan arkib di Britain bagi menyokong tuntutannya.


Sebelum itu,Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]