Lupus 12 jenis dadah bernilai RM23.3 juta

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Polis Pahang akan melupuskan barang kes bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik yang terdiri 12 jenis dadah bernilai RM23.3 juta hari ini.


Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azri Ahmad berkata, pelupusan membabitkan 4,655 barang kes dalam tempoh tiga tahun, 2013 hingga 2016.


Menurutnya, barang-barang kes yang  dimusnahkan terdiri daripada 12 jenis iaitu heroin seberat 1,281 kilogram (kg), methamphetamine (2.8 kg), kanabis, ketamin (371 gram) dan nimetazepam (950 gram).


“Dadah lain adalah midazolam seberat 5.7 gram, ecstasy (154.25 gram), cecair ketum (4,395 liter), daun ketum (30.68 kg), codein (157.32 gram), pil psikotropik (2.7 kg) dan 115.88 gram lain-lain dadah,” katanya pada sidang media mengumumkan pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Pahang.


Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Pahang, Superintendan Lam Thiat Huat.


Azri berkata, dadah pelbagai jenis berkenaan dilupuskan selepas mendapat perintah berikutan prosiding mahkamah dan tempoh rayuan bagi hukuman dikenakan terhadap pesalah terbabit sudah tamat.


“Kerja pelupusan akan dilakukan oleh kontraktor bertauliah di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan kira-kira jam 9 pagi,”katanya.


Sementara itu, Azri berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Pahang mencatatkan sebanyak 9,830 kes yang membabitkan tangkapan seramai 11,296 orang dalam tempoh Januari hingga Oktober.


Beliau berkata, dalam tempoh sama tahun lalu, sebanyak 9,680 kes membabitkan tangkapan seramai 10,880 orang, ia menunjukkan peningkatan sebanyak empat peratus.


“Jumlah penyitaan harta juga mencatatkan peningkatan sebanyak 91 peratus iaitu daripada 2.5 juta pada tahun lalu kepada RM4.7 juta tahun ini.


“Peningkatan juga direkodkan dari segi nilai rampasan dadah iaitu RM5 juta pada tahun ini berbanding RM4 juta tahun lalu yang membabitkan pelbagai jenis dadah,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]