Macau scam: Masih ramai terpedaya

in Semasa by


PETALING JAYA – “Masih ramai yang terpedaya dengan sindiket menyamar sebagai pegawai bank atau pegawai polis untuk perdaya mangsa melalui panggilan telefon” kata Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.


Menurutnya, walau pun telah banyak kali diingatkan, pihaknya masih menerima banyak laporan berhubung penipuan Macau scam ini.


“Pada tahun ini sahaja, sebanyak 228 kes dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM7.2 juta dilaporkan.


“Jumlah ini berbeza berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 213 kes membabitkan kerugian kira-kira RM17.34 juta,” katanya dalam sidang media dalam Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Perjudian, di Balai Polis Ara Damansara, di sini, hari ini.


Beliau berkata, modus operandi sindiket ini adalah menghubungi mangsa-mangsanya secara rawak dan memberitahu bahawa kad kredit atas nama mangsa telah digunakan untuk perbelanjaan yang tinggi di merata tempat.


Tambahnya, malah terdapat juga kes di mana mangsa dimaklumkan kononnya akaun milik mangsa ini terlibat dengan kes jenayah.


“Suspek akan menyamar sebagai pegawai bank atau polis kononnya menawarkan bantuan bagi mengelakkan wang atau akaun mangsa ini dibekukan.


“Mangsa kemudian diminta memindahkan wang daripada akaunnya ke akaun yang diberikan suspek,” katanya.


Justeru, polis menasihatkan jika mana-mana individu ada dihubungi berkenaan transaksi atau penggunaan kad kredit, dinasihatkan supaya berhubung ke bank berhampiran untuk maklumat terperinci. Orang ramai juga harus lebih berhati-hati dalam melakukan apa-apa transaksi dan usah panik dengan sindiket ini.


Katanya, usah layan atau mengikut arahan individu yang tidak dikenali melalui panggilan telefon.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]