Minta tukar tempat rawatan

in Edisi by


BAYU LALANG – Seorang pesakit kencing manis dan buah pinggang di Kampung Kubang Keroh meminta pihak berkenaan menukar hospital tempat dia dirawat.


Halimah Ismail, 60, berkata, dia sangat berharap agar menerima rawatan di Hospital Pasir Mas, namun buat masa ini dia masih terikat dengan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.


Menurutnya, perjalanan dari rumah ke Kota Bharu yang agak jauh menyebabkan dia terpaksa membebankan suami, Wan Ismail Wan Hassan, 65.


“Suami terpaksa berhenti kerja untuk jaga saya. Perjalanan dan rawatan mencuci darah agak lama menyebabkan tugas-tugas suami yang lain turut tergendala.


“Sebelum ini, kesihatan suami turut terjejas selepas doktor maklumkan ada ketumbuhan dalam kepala pada 2011 lalu, tapi dia masih menemani saya seharian, selama dua kali seminggu di hospital,” katanya.  


Halimah yang baharu sahaja menjalani pemotongan kaki akibat kencing manis berkata, ketiadaan kaki memburukkan lagi keadaan kerana dia perlu didukung setiap kali ke hospital.


Katanya, atas nasihat doktor, dia akan menggunakan kaki palsu dalam masa beberapa bulan akan datang sehingga kakinya sembuh.


Halimah berkata, dia tidak menyangka kejadian kaki digigit pepijat menyebabkan penyakit kencing manis bertambah teruk.


“Saya gembira sepanjang menjalani rawatan di HRPZ II Kota Bharu, sebab petugas, jururawat dan doktor di sana sangat peramah.


“Tapi mengenangkan kepayahan ditanggung suami, saya harap rawatan saya ini dapat dipindahkan ke Pasir Mas,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]