Penganggur rompak pelancong, tikam dengan pisau

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Seorang penganggur hari ini dipenjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana merompak pelancong wanita warganegara China dan menikamnya dengan pisau sehingga mangsa mengalami kecederaan serius.


Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Didi Khairul Salleh Abuzar, 21, selepas dia mengaku bersalah melakukan rompakan ke atas Wu Keying, 49, sehingga menyebabkan mangsa cedera, di kawasan bangunan Wisma Indah, Wangsa Maju, di sini pada 6.15 pagi, 30 September lalu.


Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 September.


Lelaki itu yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik, didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.


Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu  supaya mahkamah menerima permohonan maafnya dan dia juga mengakui telah insaf malah berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi.


“Saya sedar selama ini saya memang jahat. Saya betul-betul insaf dan menyesal dengan perbuatan saya itu. Saya akan junjung al-Quran di masjid.


“Saya berjanji akan berkelakuan baik. Saya juga berjanji tidak akan menyusahkan emak yang sedang sakit. Saya menyesal sangat dan harap mahkamah dapat memberi peluang kedua,” katanya berulang kali.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh atas alasan jenayah yang dilakukannya itu amat berat.


“Tertuduh dalam kes ini mencederakan mangsa dengan niat untuk melakukan rompakan. Kecederaan yang dialami mangsa sangat serius. Akibat ditikam dengan pisau, mangsa terpaksa menerima jahitan di perut dan pergelangan tangan,” katanya sambil menambah faktor kepentingan awam juga perlu diambil kira dalam  kes ini.


Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa mengajak tertuduh pergi ke rumahnya untuk melakukan aktiviti seks dan ketika berada di dalam bilik, tertuduh mengeluarkan pisau dengan niat untuk  mendapatkan barang berharga sebelum berlaku pergelutan di antara mereka sehingga menyebabkan mangsa ditikam di perut dan tangan sehingga wanita itu tidak sedarkan diri.


Tertuduh cuba melarikan diri namun tidak berjaya kerana pintu pagar telah berkunci dan ditahan pihak polis pada 6.35 pagi pada hari sama. – Bernama


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]