Taktik baharu seludup minyak masak dikesan

in Edisi by


PASIR MAS – Taktik membawa masuk minyak masak paket yang kurang popular ke negeri ini dikesan menjadi taktik terbaru penyeludup untuk membawa bahan itu ke negara jiran.


Bagaimanapun taktik itu gagal apabila ia berjaya dihidu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan selepas melakukan serbuan keatas pemborong minyak masak bersubsidi di Bachok minggu lalu.


Pengarahnya, Datuk Ab Ghani Harun berkata, dalam serbuan sekitar jam 3 petang itu KPDNKK Kelantan berjaya merampas lima tan metrik minyak masak yang tidak direkodkan sebagaimana ditetapkan oleh peraturan.


“Siasatan awal, kita dapati minyak masak paket itu dibawa masuk dari luar Kelantan menggunakan jenama yang kurang popular dan jarang mendapat permintaan dari rakyat negeri ini,”katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kepenggunaan dan Majlis Anugerah Gemilang Sekolah Kebangsaan (SK) Kelar di sini.


Menurutnya, minyak masak paket tersebut disimpan terlebih dahulu di Bachok sebelum di seludup ke Thailand.


Katanya, walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi, namun permintaan luar biasa dari Thailand mendorong penyeludup untuk berbuat demikian.


Ab Ghani berkata, rampasan tersebut membabitkan nilai berjumlah RM15,000.


Katanya, kes tersebut disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]