Tiga lans koperal mengaku tidak bersalah terima rasuah

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Tiga anggota polis berpangkat Lans Korporal dihadapkan ke mahkamah sesyen rasuah, di sini, sebentar tadi atas dua pertuduhan menerima suapan daripada orang awam, tahun lalu.


Tertuduh, Azizan Mohamad, 30; Muhammad Aiman Najmi Sahran, 26; dan Abdul Manan Abdul Satar, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.


Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam didakwa meminta suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 33 tahun di hadapan sebuah bank di Jalan Masai Jaya 1, Plentong, di sini, pada jam 1 pagi, 9 Oktober 2016.


Wang berkenaan didakwa sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki berkenaan bersama seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang ditahan atas kesalahan memiliki dadah.


Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka bertiga didakwa menerima suapan wang tunai RM2,250 daripada orang sama sebagai dorongan yang sama di Jalan Teratai 18, Taman Johor Jaya, di sini, pada jam 4.50 pagi, tarikh yang sama.


Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.


Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Januari 2018.


Selepas tamat pertuduhan kes, ketika dibawa keluar dari mahkamah, salah seorang tertuduh mengeluarkan kata kesat dan isyarat lucah kepada jurugambar dan pengamal media.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]