Wanita paling ramai hidap diabetes

in Edisi by


KUALA BERANG – Penghidap diabetes dalam kalangan wanita mengandung di negeri ini kian menunjukkan trend peningkatan dan golongan wanita juga merupakan kumpulan paling ramai menghidap penyakit itu berbanding lelaki di Terengganu ini.


Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata, berdasarkan statistik bermula Januari hingga September tahun ini seramai 23,546 penghidap diabetes didaftarkan di negeri ini dengan 14,684 orang daripada jumlah itu adalah wanita.


“Mungkin ada di antara kita beranggapan seseorang wanita yang mendapat kencing manis semasa mengandung dan apabila bersalin semuanya itu boleh hilang begitu sahaja.


“Namun, sebenarnya penyakit ini akan kekal lima peratus dalam badan mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Diabetes, Hari Jantung Sedunia dan Hari Bersama Kospen Peringkat Negeri Terengganu 2017 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, kelmarin.


Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian anugerah Pesakit Diabetes Terbaik, Kospen Paling Aktif Terbaik Peringkat Negeri Terengganu serta Lokaliti Kospen Terbaik Peringkat Negeri Terengganu.


Menurutnya, selain hamil, diabetes juga berpunca daripada obesiti, keturunan, kurang bersenam dan tidak menjaga makan.


“Penyakit itu tidak mustahil akan meningkat pada masa hadapan sekiranya tidak dicegah dari awal.


“Memperlihatkan senario ini, tentunya ia boleh menjejaskan tahap kesejahteraan atau kualiti hidup masyarakat terutamanya dari segi jangka masa panjang,” katanya.


Dr Mohammad berkata, secara keseluruhan sebanyak 49,947 kes diabetes (61.5 peratus adalah wanita) didaftarkan bermula Januari 2011 hingga September lalu dalam Daftar Diabetes Kebangsaan (NDR).


“Malah jumlah pesakit diabetes kronik sehingga perlu jalani amputasi juga terus meningkat saban tahun dan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini seramai 222 pesakit telah diamputasi berbanding 226 orang bagi tahun 2016 serta 88 pesakit pada 2015,” katanya.


Dalam perkembangan berlainan, Dr Mohammad memaklumkan, sebanyak 941 kes baharu penyakit jantung koronari dikesan di negeri ini pada 2016 dan bagi tahun ini, sehingga September sahaja seramai 627 kes penyakit tersebut telah dikenal pasti.


Katanya lagi, Kementerian Kesihatan sentiasa berusaha menangani penyakit tidak berjangkit termasuk menubuhkan sukarelawan Kospen bagi membantu anggota kesihatan mempromosikan makanan sihat, pengurusan berat badan dan perlaksanaan aktiviti fizikal secara berjadual di setiap lokaliti Kospen.


“Bermula Januari hingga September tahun ini, sebanyak 614 lokaliti Kospen berjaya diaktifkan dan seramai 3,104  sukarelawan berjaya dilatih sebagai sukarelawan Kospen.


“Mereka juga telah membuat saringan kesihatan kepada 46,972 penduduk di seluruh negeri. Daripada saringan itu 20,263 orang telah dikesan mempunyai faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti obesiti, tekanan darah tinggi dan paras gula yang tidak normal. Masyarakat disaran agar lebih ambil berat tentang penjagaan kesihatan masing-masing,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]