10 premis perniagaan digempur MBSA

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Sebanyak 10 premis perniagaan yang dikenal pasti menyalahgunakan tempat letak kereta dikenakan tindakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam operasi bersepadu memecah tanjakan (ramp) di Seksyen U5 baru-baru ini.


Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, dalam operasi tersebut, pemeriksaan mendapati pemilik premis membina 13 tanjakan tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan.


“Kesemua tanjakan itu dipecahkan dengan menggunakan sebuah jentera ‘excavater’ melibatkan 20 kakitangan daripada Jabatan Kewangan, Jabatan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pelesenan dan Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA.


“Penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan merupakan satu kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133),” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.


Menurutnya, MBSA juga mengenal pasti 20 kategori perniagaan yang boleh memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan antaranya kedai membaiki kereta/motosikal, kedai menjual aksesori kereta/motosikal, kedai menjual perabot serta klinik yang memerlukan ruang pemunggahan barang dan sebagainya.


“Kita mohon agar pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan supaya membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu daripada MBSA.


“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram di hadapan premis mereka,” katanya.


Katanya, sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, boleh menghubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian, 03-55105133.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]