‘Bertahun ibu merangkak’

in Edisi by


LATI – Seorang ibu tunggal di Taman Lati di sini, terpaksa merangkak untuk bergerak akibat penyakit saraf dihidapi pada bahagian lutut.


Anaknya, Abd Hadi Mat Zain, 57, berkata, penyakit dideritai ibunya, Siti Bidah Salleh, 80,  sejak 15 tahun lalu memaksanya merangkak jika ingin ke tandas atau ruang tamu.


Menurutnya, dia sekeluarga menghadapi masalah tiap kali ibunya perlu menjalani rawatan di klinik kesihatan atau hospital.


“Keadaan ibu bertambah buruk lepas diserang angin ahmar lima tahun lalu, menyebabkan berat badan ibu bertambah dan keadaan fizikalnya berubah.


“Saya seorang saja tak mampu nak dukung ibu, jadi saya terpaksa usung ibu bersama empat saudara serta adik beradik lain,” katanya.


Mengenangkan kesulitan dihadapi, Abd Hadi berkata, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Hussien Ahmad meminjamkan kerusi roda untuk kegunaan ibunya, beberapa tahun lalu.


Namun katanya, dia mula segan dengan pemimpin berkenaan kerana gagal memulangkan semula kerusi roda tersebut kerana pertambahan berat serta perubahan bentuk fizikal ibunya menyebabkan kerusi berkenaan rosak.


“Alhamdulillah Ketua Umno Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim dan Ahli Jawatankuasa Umno Rantau Panjang, Azram Ahmad simpati dengan nasib kami dan sumbangkan kerusi roda untuk keperluan ibu saya,” katanya.


Sementara itu, Azram berkata, sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban Abd Hadi malah memberi kemudahan kepada Siti Bidah untuk ke hospital.


“Kita sentiasa cakna dengan kebajikan penduduk terutama pesakit kronik yang terpaksa bergantung pada jagaan anak-anak,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]