DAP tidak faham bahasa

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu menyifatkan DAP sebagai tidak faham bahasa apabila tidak putus-putus menuduh Pas mahu bekerjasama dengan BN pada PRU14 akan datang.


Pengerusinya, Dr B Chandran berkata, ketika Kerajaan Pas Kelantan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam isu pembangunan negeri, perkara tersebut rancak dimainkan pihak terlibat.


Bagaimanapun katanya, apabila Kerajaan Persekutuan membantu DAP dalam isu pembangunan berkait soal di Pulau Pinang dengan gambar-gambar yang memperlihatkan pemimpin DAP dan BN bersama-sama, Pas hanya bersikap profesional tanpa mengambil sikap membalas balik.


“Dahulu apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi tidak cakap apa-apa (mengenai dakwaan kerjasama Pas dan Umno), mereka kata hendak tunggu kenyataan presiden tetapi apabila presiden cakap, dia tetap juga buat dakwaan sedemikian.


“Jadi, dari sini, orang ramai perlu nampak bahawa DAP itu memang sengaja hendak cari pasal kerana itu sahaja modal dia,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.


Dalam laporan Sinar Harian 13 November lalu, DAP mendakwa menjelang PRU14, Pas akan bekerjasama dengan BN.


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Pas menjadi rakan kuat BN kini, dijangka akan bekerjasama dengan kerajaan BN untuk menentang Pakatan Harapan.


Bagaimanapun melalui kenyataan terdahulu pada 11 November lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas lebih selesa bersikap berkecuali iaitu tidak akan bersama BN atau Pakatan Harapan.


Mengulas lanjut, B Chandran menjelaskan bahawa tindakan DAP yang tetap meneruskan modal politik Pas-Umno itu sebenarnya untuk memastikan Pas tidak akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan.


Jelasnya, DAP punyai agenda untuk memastikan parti itu tetap menjadi ‘king maker’ dalam Pakatan Harapan dalam mengekalkan kemenangan di Pulau Pinang pada PRU14.


“Dia tidak mahu Pas dalam Pakatan Harapan dan tidak mahu Pas menjadi ‘king maker’ dalam Pakatan Harapan. Dia buat alasan supaya Pas berada di luar dengan Pakatan Harapan. Kalau Pas bersama Pakatan Harapan dia tidak akan jadi ‘king maker’,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]