Felda: Gejala dadah meningkat

in Edisi Pahang by


FELDA TERSANG – Gejala dadah di kawasan Felda dilihat semakin membimbangkan apabila merekodkan 20 peratus daripada jumlah penagih dadah datang daripada tanah rancangan di negeri ini.


Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Datuk Jamaluddin Kudin berkata, pelajar yang tidak bersekolah menjadi antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan penyalahgunaan dadah di tanah rancangan terbabit.


Menurutnya, pelajar yang tidak bersekolah ini dikenal pasti antara golongan yang mudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah di kawasan Felda.


“Mereka yang tidak bersekolah ini tidak ada apa-apa aktiviti berbanding pelajar sekolah atau universiti. Ini menyebabkan mereka membuat kerja sendiri dengan melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah.


“Jadi semua pihak harus bekerjasama dengan polis bagi mengatasi isu ini melalui pelbagai  pendekatan termasuk langkah pencegahan,” katanya pada Program ‘Community Policing’ dan Majlis Perasmian Volunteer Smartphone Patrol (VSP) Bersama Warga Gugusan Felda Tersang Peringkat Daerah Raub di Dewan Semai Bakti Felda Tersang 2, di sini, semalam yang turut dihadiriKetua Polis daerah, Superintenden Wan Zahari Wan Busu dan Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Md Zulkifli Md Na’am.


Jamalauddin berkata, berdasarkan statistik terkini, terdapat kira-kira 5,200 penagih dadah di seluruh negeri ini dan daripada jumlah itu  1,040 penagih datang daripada kawasan tanah rancangan Felda.


Tambahnya, jika isu ini tidak diberi perhatiania mampu meningkatkan lagi jumlah penagih dadah  baharu di kawasan Felda.


Dalam pada itu, Jamalauddin berkata, pelbagai pendekatan dilakukan pihak polis seperti pemantauan dan operasi berterusan dalam usaha menangani masalah dadah di kawasan Felda.


“Untuk itu, pihak polis akan berkerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pengurusan Felda bagi melaksanakan program pencegahan baharu bermula tahun hadapan.


“Program kolaborasi ini melibatkan semua  tanah rancangan Felda. Dijangka akan dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota,  Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]