Himpunan protes kenaikan minyak hambar

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Himpunan membantah kenaikan harga minyak anjuran Pemuda Pakatan Harapan di hadapan Parlimen hari ini berlangsung hambar.


Tinjauan Sinar Harian pada pagi mendapati hanya beberapa orang dilihat  memegang sepanduk di depan khemah yang didirikan.


Ahli-ahli Parlimen dari Amanah iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Mohamed Hanipa Maidin dan Datuk Mujahid Yusof Rawa turut menyertai himpunan itu pada tengahari bagi menyatakan sokongan.


Difahamkan, himpunan itu telah bermula sejak tengah malam tadi namun peserta diminta meninggalkan kawasan berkenaan oleh polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana tidak mendapat kebenaran berhimpun.


Sementara itu, Pengarah Mobilisasi Pemuda Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin dalam satu kenyataan semalam mempertahankan himpunan di hadapan Parlimen tersebut.


“Kami secara tegas menekankan bahawa kerajaan perlu mengembalikan semula subsidi bahan api berjumlah RM1 billion. Subsidi sebesar ini berpotensi mengurangkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen bagi 5.4 billion liter petrol bersubsidi.


“Kerajaan harus berhenti berdalih. Tidakkah mereka dakwa ekonomi negara semakin baik? Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 berhempas-pulas meyakinkan khalayak bahawa kedudukan kewangan negara kian kukuh. Jika benar sebagaimana didakwa, kembalikan subsidi sebanyak RM1 billion. Turunkan harga minyak, sekarang,” katanya.


Sebelum ini, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya akan memantau himpunan tersebut dan akan menghentikannya jika peserta berarak ke Parlimen.


 

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]