Ikatan ibu bapa dan guru perlu utuh

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menegaskan perpaduan di kalangan ibu bapa dan guru amat perlu bagi memastikan negara dapat melahirkan pelapis yang mampu mencorak negara ke arah yang lebih baik.


Pengerusinya, Halim Ishak berkata, selaku ibu bapa, kita tidak seharusnya meletakkan bebanan mengajar itu ke atas guru sahaja sebaliknya kedua-dua pihak perlu berganding bahu.


“Kalau di sekolah, tenaga pengajar akan merencanakan tugas mereka. Apabila di luar, ibu bapa perlu menyambung peranan.


“Masyarakat juga perlu memainkan peranan sama seperti ibu bapa dan guru supaya anak-anak muda ini tidak tersalah langkah dalam melalui kehidupan yang mencabar.


“Sama juga dengan masyarakat lain. Mereka perlu menjadi mata-mata untuk melihat perbuatan pelajar sekolah supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti tidak bermoral,” katanya ketika ditemui di Majlis sambutan Jubli Intan Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Pulai, semalam.


Dalam majlis tersebut, MCCF melalui cawangan MCCF Johor juga memberi sumbangan khas kepada sekolah berkenaan sebanyak RM5,000 bagi menambah dana keperluan dan aktiviti persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).


Penyampaian sumbangan itu diserahkan kepada guru besar sekolah disaksikan Pengarah Jabatan Strategik Umno Johor, Datuk Ramlee Bohani yang mewakili Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.


“Majlis itu bertujuan merapatkan hubungan badan bukan kerajaan (NGO) dengan PIBG melalui hubungan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Komuniti (PIBK) di luar dari Kuala Lumpur,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]