JITN perkasa usaha SPRM perangi rasuah

in Nasional by


KUALA LUMPUR –  Penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) sebagai agensi peneraju mampu memperkukuhkan lagi matlamat agenda integriti dan tadbir urus baik negara melalui perancangan strategi pelaksanaan secara rapi.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, kelemahan tadbir urus berulang yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara, prestasi kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan penangkapan kes-kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi penekanan supaya penambahbaikan perlu terus diperkasa bagi memacu perubahan di sektor awam dan swasta.


“Pengurusan integriti dan tadbir urus negara melibatkan isu dan skop yang lebih meluas dan bukan hanya memfokus kepada isu-isu rasuah sahaja. Pelaksanaannya merangkumi pelbagai peranan dan komponen yang terletak di bawah bidang kuasa pelbagai agensi.


“Maka, penubuhan JITN sebagai agensi peneraju dapat menyediakan mekanisme pengurusan integriti dan tadbir urus baik melalui penetapan dasar lebih holistik dan efektif untuk dilaksanakan oleh pelbagai agensi pelaksana,” kata Low dalam jawapan bertulis kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh) yang diedarkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.


Muhyiddin ingin mengetahui kewajaran jabatan baharu seperti JITN ditubuhkan di sebalik kewujudan SPRM.


Dalam jawapan bertulis berasingan kepada Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu), JPM memaklumkan JITN turut berperanan memastikan inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah dilaksanakan melalui objektif ditetapkan dan memperkasakan lagi usaha SPRM memerangi gejala itu.  


Menurut JPM, jabatan itu mempunyai fungsi sebagai peneraju inisiatif pemerkasaan integriti dan tadbir urus negara secara lebih holistik melalui pengukuhan integriti dan tadbir urus serta bidang hak asasi manusia dalam sektor awam dan swasta.


“Peranan ini dilihat sebagai satu mekanisme terbaik untuk menjadikan JITN sebagai ‘focal point’ terhadap pengurusan isu-isu pencegahan rasuah, integriti dan tadbir urus negara di samping membantu agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam pembanterasan rasuah,” kata JPM dalam jawapan bertulis itu.


Pengurusan integriti dan tadbir urus baik kerajaan merangkumi aspek meluas dalam sistem pentadbiran kerajaan yang mana, inisiatif anti-rasuah merupakan subset kepada aktiviti pengurusan integriti.


Menurut JPM, keperluan sumber tenaga manusia bagi penubuhan JITN adalah melalui penyusunan semula agensi dan perjawatan melalui ‘redeployment’ dan pengambilan pegawai daripada kementerian, jabatan dan agensi lain selaras dengan dasar semasa kerajaan ke arah penggunaan sumber manusia dan peruntukan kewangan secara optimum. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]