Lans koperal maut kemalangan

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat lans koperal maut dalam kemalangan di Jalan Gembira OUG, Jalan Klang Lama di sini, hari ini.


Mangsa yang menaiki kereta BMW Z4 bersama rakannya terbabas sebelum melanggar papan iklan dalam kejadian jam 5.30 pagi.


Difahamkan, mangsa, Nick Mazuan Shah Jaya Shadilan, 32, bertugas di Balai Polis Travers sebagai anggota am meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.


Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, siasatan mendapati kereta tersebut dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun manakala mangsa merupakan penumpang.


“Kejadian dipercayai berpunca apabila kereta tersebut hilang kawalan sebelum melanggar papan iklan yang berada di kiri jalan.


“Pemandu dilapor mengalami cedera ringan pada leher dan kaki sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini untuk menerima rawatan lanjut. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia,” katanya.


Menurutnya, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan sedikit berbukit dan berselekoh.


Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke PPUM untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]