Nafi ahli terlibat lapor ROS

in Edisi Johor by


TANGKAK – Bersatu Ledang menafikan bahawa terdapat seorang ahli mereka yang didakwa mewakili satu daripada lapan bahagian di negeri ini yang tampil mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).


Ketua penajanya, Mohd Solihan Badri berkata, kenyataan daripada Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Kluang, Arjuna Putera dalam laporan media sebelum ini yang memetik perwakilan daripada Bersatu Ledang menyertai gerakan terbabit adalah sama sekali tidak benar.


Menurutnya, penglibatan AJK Bersatu Ledang, Zaharuddin Mat Isa bersama gerakan itu adalah kerana dikelirukan oleh pihak terbabit yang tidak memaklumkan tujuan sebenar mereka ke pejabat ROS.


“Ingin saya tegaskan bahawa Bersatu Ledang tidak pernah membincang, memutus atau memberi kebenaran kepada mana-mana ahli untuk menyertai mereka bagi membuat aduan kepada pihak berwajib berkaitan perjalanan parti yang didakwa melanggar peraturan.


“Saya akui, terdapat seorang AJK bahagian mengikuti rombongan ROS ini kerana dikelirukan oleh pihak berkenaan yang kononnya mahu mendapat pencerahan mengenai perjalanan parti daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi,” katanya.


Beliau berkata, tindakan memanipulasikan keadaan sebenar itu jelas bertujuan mengelirukan dan berniat jahat.


“Bersatu Ledang tidak mempunyai sebarang masalah dalaman dengan mana-mana ahli termasuk pemimpin kerana kami semua mempunyai permuafakatan yang utuh dalam membantu parti ini.


“Justeru, kami menyangkal dakwaan pihak yang tidak bertanggungjawab kononnya terdapat seorang perwakilan Bersatu Ledang dalam gerakan terbabit,” katanya.


Tambah Mohd Solihan, pihaknya turut memberikan penerangan dengan lebih jelas mengenai perihal Bersatu Ledang kepada ahlinya bagi mengelakkan mereka keliru.


“Ahli parti juga diberitahu bahawa pihak ROS meluluskan penubuhan bahagian ini pada 24 Julai dan kami sedang dalam proses menubuhkan cawangan untuk didaftarkan bagi membolehkan ahli menyertai persidangan cawangan.


“Melalui mesyuarat itu, pemilihan akan diadakan untuk mewakili cawangan ke bahagian dan seterusnya mewakili Ledang ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Bersatu,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]