NGO akan bina hospital mata di Ethiopia

in Global by


ADDIS ABABA –  Yayasan Antarabangsa Al-Basar, sebuah organisasi bukan kerajaan, yang berpangkalan di Arab Saudi akan membina sebuah hospital dan pusat latihan rawatan mata di Addis Ababa pada tahun ini, selain merancang membina 10 hospital mata di sembilan wilayah serta di Dire Dawa City.


Hospital di sembilan wilayah dan Dire Dawa City itu akan dibina dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Setiausaha Agung Yayasan, Dr Adil Al -Rushud, yang mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Ethiopia, Dr Aklilu Hailemichael di sini, Isnin.


Adil, yang mengetuai delegasi yayasan itu, berkata Ethiopia merupakan satu daripada 44 negara di mana Yayasan Antarabangsa Al-Basar beroperasi dan berhasrat untuk memperkukuhkan lagi kegiatannya di negara berkenaan.


Beliau berkata, pembedahan mata mula dijalankan di Ethiopia sejak tahun 2000. Seramai lebih 143,000 orang diperiksa dan kira-kira 20,000 pesakit dibedah sejak enam tahun lalu.


Yayasan tersebut menyumbang sebanyak US$25 juta untuk merealisasikan pembinaan 10 hospital mata.


Dr Aklilu berkata, dalam tempoh enam tahun lalu, yayasan telah menjalankan sebanyak 26 kali pembedahan mata luar biasa dan mengagihkan lebih 40,000 pasang cermin mata.


Sementara menunggu bangunan tetap siap dalam tempoh tiga tahun lagi, yayasan akan menyediakan rawatan mata di sebuah bangunan yang disewa di Addis Ababa, katanya.- Bernama-NNN-ENA


Source: SH Global

[featured-video-plus]