PBSNT setuju penjenamaan baharu

in Sukan by


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebulat suara bersetuju untuk melaksanakan penjenamaan baharu skuad bola sepak Terengganu dengan menyaksikan hanya satu pasukan akan beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Perdana  musim depan.


Keputusan yang dicapai dalam Kongres Tahunan PBSNT yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri  Ahmad Razif Abdul Rahman itu sekaligus menamatkan persoalan membelenggu pasukan berstatus kelab T-Team sebelum ini sama ada kekal di Liga Super atau sebaliknya musim depan.


Ahmad Razif berkata, kancah Liga Super 2018 hanya akan disertai skuad Terengganu yang akan dikenali sebagai Terengganu FC (TFC) I di bawah kendalian ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.


“Pasukan TFC I ini akan dibarisi gabungan pemain terbaik daripada kedua-dua pasukan Terengganu dan T-Team, selain diperkuat dengan khidmat lima awang import berbanding empat musim ini.


“Manakala pasukan TFC II pula bertindak sebagai  pasukan ‘feeder’ kepada skuad TFC I akan beraksi dalam kancah Liga Perdana dan dibarisi seratus peratus pemain kelahiran negeri ini melibatkan gabungan pemain T-Team dan  Terengganu serta dua pemain import,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kongres Tahunan PBSNT yang berlangsung hampir dua jam di Primula Beach Hotel di sini, semalam.


Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga Menteri Besar berkata, selain TFC I dan TFC II, penstrukturan semula itu turut melibatkan kesemua pasukan pembangunan bola sepak  Terengganu termasuk skuad Piala Presiden (TFC III), Piala Belia (TFC IV) dan Piala Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)  B-17 (TFC V).


Katanya, badan induk bola sepak Terengganu itu turut menubuhkan syarikat Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd yang bakal bertanggung jawab mengkomersialkan pasukan dari Terengganu itu sekaligus mampu bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan negeri pada masa akan datang.


“Jadi dengan langkah penjenamaan semula ini, ia sedikt sebanyak mampu mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan negeri terhadap kedua-dua pasukan melibatkan Terengganu dan T-Team sebelum ini.


“Saya yakin dengan inisiatif yang dilakukan ini bukan sahaja mampu menambah kekuatan pasukan, malah berpeluang mencapai sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan,” katanya.


Dalam pada itu, Ahmad Razif turut memaklumkan jawatan pengendali TFC II akan ditentukan dalam masa terdekat selepas perbincangan diadakan dengan jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.


Pada kongres sama, Ahmad Razif turut mengumumkan tambahan  insentif dari RM5,000 kepada RM50,000 kepada ahli badan gabungannya, selain akan melakukan kerja-kerja menaik taraf padang bola sepak di setiap daerah dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berpotensi pada masa depan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]