Pemaju diberi tempoh seminggu lagi

in Edisi Utara by


KULIM – Syarikat pemaju lanskap di kawasan Taman Desaku MBI diberi tempoh seminggu lagi untuk mengotakan janji mengalihkan patung-patung yang menyerupai patung keagamaan di situ.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPKK), Rohaizad Rashid berkata, pihaknya telah memberi tempoh selama seminggu bermula kelmarin kepada Syarikat ECK Sdn Bhd untuk menunaikan janji mereka mengalihkan patung menyerupai keagamaan yang dijadikan salah satu lanskap di situ.


“Kita telah adakan mesyuarat kelmarin, dan keputusan telah dibuat supaya pihak pemaju terbabit mengalihkan patung tersebut dalam tempoh seminggu.


“Sepatutnya pihak syarikat terbabit telah mengambil langkah alihkan pada September lalu namun masib gagal berbuat demikian,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, pengusaha juga berjanji akan menghantar gambar patung-patung yang menyerupai ketuhanan dan keagamaan di lanskap berkonsepkan Bali di situ untuk pihaknya membuat penilaian.


“Pihak Syarikat ECK akan mengambil langkah menghantar gambar patung-patung tersebut kepada kita untuk dibuat penilaian sama ada perlu dialihkan atau dikekalkan.


“Mengikut mufti, apa juga patung yang berkonsepkan ketuhanan dan berbentuk manusia tidak boleh diletakkan di tempat awam terutama kawasan perumahan tanpa kebenaran,” katanya.


Beliau turut menegaskan pihak MPKK tidak teragak untuk mengambil tindakan mengalihkan ke semua patung yang menjadi kontroversi itu sekiranya pemaju terbabit gagal berbuat demikian.


“Saya akan tunggu tempoh seminggu sehingga 27 November ini, kalau tiada tindakan daripada syarikat terbabit kita MPKK akan mengalihkan patung-patung berkenaan dengan kos ditanggung mereka,” katanya.


Tinjauan Sinar Harian turut mendapati beberapa patung yang didakwa menyerupai ketuhanan masih berada di kawasan lanskap berkonsepkan Bali di situ walaupun tempoh yang dijanjikan pemaju untuk mengalihnya telah pun tamat pada hujung September lalu.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]