Pembangkang patut sokong Bajet Sabah 2018

in Edisi Sabah Sarawak by


KOTA KINABALU – Bajet Sabah 2018 harus disokong dan diluluskan oleh semua Adun Sabah, termasuk daripada parti pembangkang, kerana belanjawan itu untuk semua rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik.


Datuk Mohammad Yusof Apdal (BN-Lahad Datu) berkata, semua Adun Sabah, termasuk pembangkang, harus bersatu ke arah memastikan rakyat di negeri ini terus dibela.


“Saya percaya dan saya katakan di sini bahawa tidak mungkin kalau ada usaha kerajaan Persekutuan sekarang ini akan dilaksanakan atau dipersetujui oleh kerajaan negeri di bawah pembangkang.


“Tetapi yang pastinya, kalau ada usaha kerajaan negeri baik di bawah BN atau pembangkang, kerajaan Persekutuan tidak akan teragak-agak untuk membantu.


“(Oleh itu) sebagai orang yang prihatin kepada rakyat di Sabah, harapan saya kita (semua Adun) sama-sama menyokong untuk meluluskan bajet negeri ini,” katanya ketika membahaskan Bajet Negeri 2018 pada persidangan Dun di sini hari ini.


Ketika disoal Dr Edwin Bosi (Amanah-Kapayan) sama adaa Adun Lahad Datu itu memahami hubungan antara kerajaan pusat dan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, Mohammad Yusof berkata beliau bukan sahaja memahaminya, malah hubungan itu mesti bersifat dua hala.


Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong) berkata pihak tertentu, khususnya pembangkang, perlu kemukakan pelan yang meyakinkan sekiranya tidak bersetuju dengan pelan kerajaan.


“Bukan menghentam kerajaan sahaja umpama anjing menyalak bukit. Contohnya, apa yang berlaku di Pulau Pinang, banjir yang begitu hebat diharap menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.


Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merayu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menghantar bantuan, dan Majlis Keselamatan Negara terus diarah untuk melaksanakan operasi menyelamat menggunakan polis dan tentera.


“Inilah pemimpin BN, walau difitnah, dicaci, dikhianati, dimaki hamun, tetapi sentiasa membantu tidak kira fahaman dan ideologi politik masing-masing.


“Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika meninjau Pulau Pinang telah mengumumkan 13 projek jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir dengan kos sebanyak RM1 bilion,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Sabah Sarawak

[featured-video-plus]