Pemuda BN, NGO lapor polis video Kor Ming

in Politik by


IPOH – Pemuda BN Negeri dan gabungan tujuh NGO negeri menggesa polis mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.


Kor Ming dikatakan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman dalam satu ceramah politik, di Kampung Simee, di sini, Khamis lalu.


Wakil Pemuda BN Negeri, Mohd Fauzi Mohaidin berkata, sudah sampai masanya polis mengambil tindakan termasuk menggunakan peruntukan undang-undang mengikut Akta Hasutan 1948 terhadap Ahli Parlimen Taiping itu.


Menurutnya, tindakan Kor Ming dilihat sebagai satu perbuatan biadab menyentuh sensitiviti perkauman dengan menghina Melayu di pentas ceramah politik untuk meraih pengundi di Kampung Simee itu.


“Tindakan Adun Kepayang itu dilihat biadab kerana menggelar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dengan kata kesat atas isu penganugerahan The Brandlaurette, baru-baru ini.


“Kebiadaban Kor Ming dilihat semakin hari semakin menjadi-jadi kerana begitu lantang mengeluarkan kata-kata kesat tanpa mengambil faktor sensitiviti perkauman dan ini bukan pertama kali beliau memainkan isu itu dalam beberapa siri ceramahnya sebelum ini,” katanya selepas membuat enam laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini, semalam.


Badan NGO yang terlibat adalah Parlimen Belia Malaysia, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri, Sukarelawan Pemuda BN Negeri, Nadi Rakyat Malaysia Negeri, Majlis Belia Daerah Kinta, Jaringan Melayu Malaysia dan Pemuda Umno Negeri.


Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia wakil negeri, Mohd Adri Adha Mohamad menggesa Adun Kepayang itu membuat permohonan maaf berhubung isu penganugerahan The Brandlaurette menerusi Sidang Dun hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby mengesahkan menerima enam laporan polis berhubung kenyataan Kor Ming.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]