Perasaan resah berakhir dengan tragedi kebakaran rumah

in Edisi by


KOTA BHARU – Perasaan resah seorang pegawai imigresen kanan, sejak seminggu lalu rupanya petanda awal yang diterima sebelum rumah terbabit musnah dalam kebakaran Ahad lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 9. 50 malam, mangsa, Ahmad Sabery Che Mamat, 58, yang bertugas di Pejabat Imigersen Kota Bharu berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan ketika itu dia dan isterinya, Nor Azlina Yaacob, 43, keluar melawat kenalan yang meninggal dunia di Wakaf Che Yeh.  


“Saya menerima panggilan dari jiran mengatakan rumah saya terbakar dan selepas itu saya terus bergegas pulang ke rumah.  


“Tiba di rumah saya tengok jentera bomba dan anggota memenuhi perkarangan rumah dan saya langsung tidak dapat menyelamatkan apa-apa kerana kesemuanya musnah dalam kebakaran hampir 100 peratus,” katanya.


Ahmad Sabery berkata,  walaupun sebak dengan kejadian itu namun dia masih dapat menyelamatkan kereta jenis Proton Inspira, Perodua Kancil dan motosikal Modenas berikutan motosikal dan Kancil dihantar ke bengkel manakala  Inspira dipandunya ketika melawat kenalannya itu.


“Setakat ini saya terpaksa menumpang di kediaman keluarga berhampiran kediaman yang terbakar sebelum berpindah di kuaters Imigresen di Kota Bharu selepas majikan menawarkan saya dan keluarga tinggal di kawasan itu ekoran keadaan kediaman saya ini.


“Kerugian dalam kejadian ini dianggarkan bernilai RM 130,000 dan setakat ini punca kejadian dipercayai akibat lintar pintas,” katanya.


Sementara itu, Malis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK)  melaui Timbalan Yang Dipetuanya, Dr Nik Azlan Abd Hadi menyerahkan sumbangan segera kepada keluarga terbabit di kediaman di sini hari ini.


“Kita sumbangkan RM2,000 untuk keluarga ini bagi meringakan beban yang ditanggung dan harap ia dapat membantu keluarga ini.


“Pihak MAIK sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat di negeri ini dan kita hulurkan bantuan segera kepada keluarga ini yang ditimpa musibah,”katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]