Polis rampas lebih 17,000 ecstacy

in Semasa by


MUAR – Seorang pemuda yang dipercayai baru berjinak-jinak sebagai ‘orang tengah’ dalam kegiatan pemasaran pil ecstacy bernasib malang apabila cubaan kali keduanya gagal.


Suspek berusia 23 tahun ditahan di sebuah kediaman di Jalan Abdul Rahman di sini, yang dipercayai digunakan sebagai pusat transit untuk menjalankan aktiviti tersebut.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, dalam serbuan jam 2 pagi, Isnin lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Muar telah menyerbu kediaman suspek menemui lebih 17,000 biji pil ecstacy membabitkan nilai sebanyak RM530,940.


“Polis merampas sebanyak 18 bungkus plastik pil ecstacy mengandungi 17,698 biji dengan nilai pasaran lebih daripada setengah juta ringgit. Kami percaya kesemua barangan disimpan dalam bungkusan beg besar itu bertujuan untuk dihantar kepada seseorang berikutan suspek orang tengah.


“Polis menyiasat dari pelbagai sudut termasuk dari sumber mana pil terbabit diperolehi dan untuk pasaran ke mana itu ia akan dihantar,” katanya dalam sidang media di IPD Muar di sini, sebentar tadi.


Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati sekiranya sabit kesalahan.

 


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]