‘Sahabat, damailah kau di sana’

in Edisi by


KUALA KANGSAR – “Kami terkejut bila dapat tahu kawan kami lemas. Sampai sekarang kami masih lagi terasa kehilangannya, dia memang seorang sahabat yang baik.”


Demikian cerita Muhamad Irsham Mohd Nasri, 32, yang masih sedih dengan pemergian sahabatnya, Muhammad Faliq Fadzil, 26, dalam tragedi bot karam di Tasik Raban.


Menurutnya, Allahyarham Muhammad Faliq seorang kawan yang baik dan sikapnya yang gemar menolong orang lain membuatkannya ramai kawan.


Katanya, dia dan rakan lain terkejut mendengar perkhabaran bot karam itu dan berdoa rakannya selamat, namun ternyata ALLAH SWT lebih menyayanginya.


“Memang dari kecil saya kenal arwah. Bila dapat tahu kes ini, saya dan rakan-rakan arwah pergi ke Tasik Raban.


“Hari pertama tak jumpa apa-apa sebab operasi mencari dilakukan di dasar tasik. Hari ini (semalam) barulah jumpa jenazah arwah. Arwah pandai berenang tapi mungkin ia terjadi atas kehendak ALLAH SWT.


“Orang memang kenal arwah sebagai seorang yang ceria. Kalau tanya orang kuale, memang ramai kenal dia,” katanya.

Mayat Muhammad Faliq ditemukan pada jam 7.55 pagi, semalam.


Dalam pada itu, polis mengesahkan mayat seorang lagi mangsa tragedi bot karam di Tasik Raban ditemukan pagi semalam selepas 20 minit operasi mencari dan menyelamat disambung.


Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, operasi mencari dan menyelamat di Jeti Tasik Raban dihentikan pada 9.30 pagi semalam.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pemancing ditemui lima meter dari bot karam]


“Mayat mangsa  dibawa ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat sebelum dibawa ke Kuala Kangsar untuk urusan pengebumian,” katanya.


Dalam pada itu, seramai 73 orang termasuk 20 penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari mangsa diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Lenggong.


Ketua Operasi, Mohd Annuar Mohd Saff berkata, mayat kedua ditemui dalam keadaan terapung tidak jauh dari lokasi botnya karam pada jam 7.55 pagi, semalam.


“Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 pagi semalam,” katanya.


Semalam, Sinar Harian melaporkan hasrat dua lelaki menghabiskan masa cuti dengan memancing bertukar tragedi apabila bot dinaiki mereka karam.


Mayat pertama, Amirul Asyraf Abdullah, 24, ditemukan jam 10.10 pagi, kelmarin.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]