Takut turun laut, pendapatan terjejas teruk

in Uncategorized by


WAKIL nelayan pantai Jeti Pengkalan Sungai Baru, Muhammad Azwan Kamil,28, berkata, sebelum kes tangkapan nelayan pantai di zon konservasi berlaku, mereka keluar menangkap ikan sehingga 40 bot sehari.


Bagaimanapun, katanya, kini hanya beberapa bot sahaja yang berani turun ke laut, malah ada juga yang tidak berani angkat pukat dipasang di tengah laut selama tiga hari.


“Nelayan pantai tidak berani mengambil risiko kerana kami tidak mampu membiayai kos bon jaminan polis dan denda dikenakan Jabatan Perikanan.


“Sekarang pun pendapatan kami terjejas teruk, hanya mampu peroleh tiga hingga empat kilogram hasil tangkapan berbanding 30 hingga 40 kilogram sehari sebelum ini,”katanya.


Sementara itu, wakil nelayan pantai Kampung Nelayan Kuala Kurau, Mazle Mohamad,39, berkata, lebih 200 nelayan pantai tidak berlesen di daerah Kerian juga merayu jabatan sekurang-kurangnya mengeluarkan surat kebenaran menangkap ikan di laut bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.


Menurutnya, majoriti nelayan memahami ketegasan pihak jabatan dalam meluluskan permohonan lesen mereka disebabkan kebimbangan berlaku penyalahgunaan kemudahan diberikan kerajaan.


“Cuma kami merayu supaya sekurang-kurangnya diberikan surat kebenaran menangkap ikan bagi memastikan kami turun ke laut tanpa bimbang ditangkap.


“Sekiranya kami tidak menjadi nelayan, kami hendak buat kerja apa? Sekarang ini pun, kos menyelenggarakan peralatan termasuk pukat amat tinggi mencecah ratusan ringgit sebulan,”katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]