Tanah diceroboh kali kedua

in Edisi Selangor KL by


PUCHONG – Bukan sekali namun tanah lapang bersebelahan taman permainan kanak-kanak di Taman Kinrara Seksyen 7 di sini, didakwa sudah dua kali dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab.


Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14 Dun Kinrara, Lawrence Chiew berkata, beliau menerima aduan mengenai kegiatan menceroboh tanah milik kerajaan itu sejak minggu lalu.


Menurutnya, aduan sama diterima sebelum Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) datang ke lokasi dan menutup lokasi dengan tali amaran, awal tahun lalu namun tanah itu sekali lagi diceroboh dan dijadikan tempat pembuangan sampah lapan bulan kemudian.


“Dulu tapak ini pernah dicadangkan untuk dijadikan gelanggang bola keranjang berbumbung, permohonan tidak berjaya disebabkan pihak berkuasa memberitahu ia akan dimajukan sebagai tempat letak kereta awam.


“Bagaimanapun, sejak tahun 2008 tapak tersebut tidak dimajukan dan dibiarkan begitu saja hingga penduduk nampak ada beberapa lori bawa tanah serta batu-bata dan melonggokkannya di situ,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk mengadu dua bulan tekanan air rendah]


Lawrence berkata, penduduk bimbang jika ada pihak tertentu ingin membina bangunan di tanah hak milik kerajaan yang tidak mempunyai pagar itu.


Ketiadaan pagar di tanah itu menyebabkan penduduk bimbang ada pihak ingin bangunkannya dan letakkan tanah untuk selaraskan dengan paras tanah bersebelahan.


“Penduduk juga bimbang tanah yang diletakkan di situ untuk diselaraskan dengan paras tanah bersebelah. Saya cadangkan tanah diratakan dan dijadikan tempat letak kereta bagi mengelakkan ia dicerobohi lagi.


“Jika perbuatan tak dihalang, tak mustahil tanah itu akan dipenuhi sampah sarap dan sisa binaan. MPSJ perlu letak papan tanda amaran larangan pembuangan sampah dan beritahu penceroboh akan didakwa,” katanya.


Pengerusi JPP Zon 7, Datuk Inder Singh Beant Singh berkata, pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan membuang sisa tanah kerana nampak tanah kosong dan terbiar begitu sahaja.


“Biasa kontraktor nak jimat mereka buang merata-rata, kalau buang ditapak pelupusan kena bayar, buang sini percuma, jadi pihak berkuasa kena lakukan pemantauan berkala.


“Penduduk yang ada maklumat siapa buang sisa binaan di sini patut beritahu kepada pihak berkuasa supaya pesalah dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.


Pengerusi JPP Zon 9, Jimmy Chew berkata, pihaknya mencadangkan tanah lapang itu dijadikan taman rekreasi yang boleh digunakan penduduk sekitar.


“Tanah tu sekarang penuh semak samun, MPSJ patut kena bersihkan dan jadikan ia taman rekreasi. Kalau mereka tak ambil tindakan aktiviti buang sampah haram di lokasi akan berlarutan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]