Cengkaman Daesh tamat

in Global by


TEHERAN – IRAN . Presiden Iran, Hassan Rouhani, semalam mengisytiharkan berakhirnya cengkaman kumpulan militan Daesh di rantau Arab.


Rouhani dalam satu kenyataan turut mengucapkan terima kasih kepada semua ‘pahlawan Islam’ kerana membantu menghapuskan Daesh yang tidak membawa sebarang manfaat melainkan kesengsaraan, kemusnahan, kematian dan kekejaman.


“Sebahagian usaha itu dilakukan pejuang dan tentera Syria, Iraq dan Lubnan, Kami membantu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sebagai orang Islam,” katanya pada Kongres Kebangsaan ke-5 di Teheran.


Satu kenyataan menerusi laman presiden memaklumkan Rouhani akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada hari ini untuk membincangkan masa depan Syria dan rantau terbabit.


Ahad lalu, tentera Syria dan sekutunya dilaporkan telah menguasai sepenuhnya kubu terakhir Daesh di Albu Kamal di timur Damsyik.


Kedudukan Daesh semakin tergugat selepas kempen ketenteraan dipertingkatkan sepanjang tahun ini.    


Agensi risikan Barat bagaimanapun memberi amaran kumpulan militan tersebut masih berupaya memberi inspirasi kepada mana-mana pihak melancarkan serangan ke atas orang awam di seluruh dunia. – Reuters


Source: SH Global

[featured-video-plus]