Datuk Vietnam didakwa rasuah Pegawai Maritim

in Semasa by


KUALA LUMPUR – Wanita warga Vietnam yang dikenali Datuk Maimunah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebentar tadi atas dua pertuduhan merasuah Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjumlah RM350,000 sebagai dorongan melepaskan empat bot nelayan Vietnam, Mei lalu.


Datuk Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 41,  mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan di hadapan Hakim Madihah Harullah.


Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa secara rasuah memberi RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Pengarah Maritim Daerah Sedili, Kota Tinggi Johor, Amran Daud, 55, sebagai dorongan untuk melepaskan tiga bot nelayan Vietnam yang ditahan Maritim kerana disyaki menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di Hot Gossip Cafe Hotel Park Royal, Jalan Sultan Ismail Bukit Bintang, pada jam antara 6.30 petang dan 7.30 petang, 2 Mei lalu.


Sementara itu bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara rasuah memberi RM50,000 kepada Muhammad Sani bagi pihak Amran atas tujuan yang sama iaitu sebagai dorongan melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam atas kesalahan sama, di tempat sama, pada jam 4 petang, 12 Mei lalu.


Dakwaan bagi kedua-dua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda dari jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan 20 Disember ini untuk sebutan semula kes.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]