Gesa majukan Tanah Merah lokasi kelahiran musang king

in Nasional by


KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz meminta Kementerian Pelancongan Malaysia mempertimbangkan usaha memaju daerah itu sebagai tempat pelancongan bagi mengenang lahirnya durian yang menjadi kesukaan ramai, iaitu musang king.


Menurutnya, sebagaimana wujudnya monumen pokok getah di Kuala Kangsar, diharapkan tindakan sama boleh dilaksanakan di daerah itu.


“Kalau pergi Kuala Kangsar kita akan nampak ada monumen sebagai negeri asal kewujudan pokok getah pertama di Malaysia, jadi saya mahu sebagaimana getah berasal dari  Kuala Kangsar, kredit juga harus diberi kepada Tanah Merah, tempat lahirnya durian musang king,” katanya di Parlimen, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan 2018, peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan di Dewan Rakyat, hari ini.


Menurutnya, perkara ini adalah fakta dan maklumat ini diperolah melalui Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian (Fama) Datuk Ahmad Ishak.


“Ini fakta, bukan direka, cuma di Kelantan  kami tak panggil musang king, ia dikenali dengan panggilan durian kunyit,” katanya.


Katanya, benih musang king berasal di Palau Raya yang kebanyakannya dihuni komuniti cina.


“Mereka telah bawa benih ini ke luar, jadi sebab itu durian ini menjadi mahsyur dan diberi nama musang king,” katanya.


Katanya, cadangan itu  perlu dipertimbangkan sebagai tarikan kepada pelancongan suatu hari nanti.


“Pelancong dari China khususnya, sudah tentu akan berkunjung ke sini ingin tahu mengenai musang king. Saya percaya ia akan menjadi tarikan dan menggalakkan pelaburan asing ke negara kita,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]