JKM Johor Bahru kesan waris Danish

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang wanita menghilangkan diri selepas meninggalkan bayi lelaki yang baharu dilahirkan, lebih setahun lalu di sebuah pusat bersalin swasta.


Pegawai Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, wanita dikenali sebagai Stephanie, 26, melahirkan bayi lelaki di pusat bersalin yang terletak di sekitar bandar raya ini pada 31 Julai 2016.


Menurutnya, berdasarkan laporan polis pada 1 Ogos 2016 lepas, ibu kandung dikatakan bersetuju untuk menempatkan bayi tersebut di bawah pusat bersalin tersebut dan akan menuntut kembali dua hari kemudian.


“Selepas itu, wanita tersebut sudah tidak dapat dihubungi dan lawatan ke rumah seperti yang didaftarkan olehnya di pusat bersalin swasta mendapati sudah tidak didiami oleh keluarga ibu kandung sejak Jun tahun lalu


“Pusat bersalin berkenaan kemudian merujuk bayi berkenaan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut,” katanya.


Normawarni berkata, kini bayi berkenaan sudah berusia setahun empat bulan dan dinamakan sebagai Danish.


“Sehingga kini, keluarga ibu kandung kanak-kanak tersebut sudah tidak dapat dihubungi.


“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu kandung bayi itu diminta menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru ditalian 07-2232606 atau 07-2232607,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]