Larangan bertudung langgar 3 perkara Perlembagaan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian kaunter hotel tidak boleh diterima atau dirunding kerana ia satu penghinaan yang melanggar tiga perkara dalam Perlembagaan Persekutuan, tegas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.


Beliau berkata Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) tidak seharusnya mempertahankan dasar yang ditetapkan pengusaha rangkaian hotel antarabangsa, tetapi sebaliknya memberitahu  mereka bahawa  perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan wajib dipatuhi dan dihormati bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga orang luar.


“Ini bukan soal berniaga, ini soal hak asasi seseorang. Tiada kompromi. Dia (pengusaha rangkaian hotel antarabangsa) orang luar dan dia datang ke negara kita, jadi mungkin dia tak tahu. Mungkin dia tak faham tentang budaya kita, tapi adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai orang Malaysia untuk beritahu dia.


“Perlembagaan kita tidak membenarkan (pelaksanaan larangan bertudung berkenaan), takkan itu pun kita rakyat Malaysia tak boleh beritahu, ia melanggar perlembagaan,” katanya sewaktu menggulung Rang Undang-undang (RUU) Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.


Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata larangan berkenaan melanggar Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.


Ia juga melanggar Perkara 8(2) iaitu tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan.


Mohamed Nazri berkata larangan tersebut turut bertentangan dengan Perkara 11(1) iaitu tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.


“Mana boleh, ini nak runding apa lagi… nak hina perlembagaan? Tidak ada ruang untuk perundingan, saya percaya kalau nak pinda (Perlembagaan Persekutuan) semata-mata larang orang pakai tudung, ia tak akan lulus, tak akan sampai sini (Parlimen),” katanya.


Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.


Laporan itu turut memetik Presiden MAH Cheah Swee Hee yang mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian dasar antarabangsa.


Menyentuh mengenai isu promosi pelancongan, Mohamed Nazri menegaskan bahawa kementeriannya tidak pernah mengabaikan Sabah dan Sarawak dalam usaha mempromosikan dan meningkatkan kemasukan pelancong asing.


“Sebab itu bila saya pergi ke luar negara, kita ambil bahagian dalam pameran, kita jemput semua lembaga pelancongan negeri untuk ambil bahagian sekali dalam pavilion yang kita adakan.


“Jadi untuk kata kita tak tekankan pelancongan di Sabah dan Sarawak itu tak betul, nak cakap kita abaikan negeri pembangkang pun tak betul. Tanyalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Kelantan. Semua kita bantu, kalau negeri yang dipimpin DAP, PAS, dan PKR pun saya tolong, inikan pula adik saya Sabah dan Sarawak,” katanya.


Mengenai pengagihan perbelanjaan promosi dalam soal pelancongan antara negeri-negeri, Mohamed Nazri berkata, ia berdasarkan  apa yang diluluskan dan dicadangkan oleh kerajaan negeri masing-masing, namun ia harus melalui penilaian oleh peringkat persekutuan.


Dewan Rakyat kemudian meluluskan RUU Pembekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]