Lelaki mengamuk di empat lokasi ditahan

in Edisi by


KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki ditahan apabila mengamuk dengan menggunakan senjata berbahaya di empat lokasi berbeza, dalam kejadian di sekitar Kuala Nerus, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, di sebuah stesen minyak di Batu Enam Gong Badak, Kuala Nerus, suspek, 30-an, yang datang dengan memandu sebuah kereta hendak mengisi minyak, tetapi tidak mempunyai wang.


Menurut sumber, suspek dengan selamba memaklumkan ingin mengisi minyak tetapi tidak mempunyai wang dan berjanji akan membayar semula pada masa akan datang sebelum mengeluarkan kad pengenalan miliknya konon sebagai cagaran.


“Bagaimanapun pengurus stesen minyak itu tidak bersetuju dan tidak membenarkan mengisi minyak sebelum suspek secara tiba-tiba naik angin dengan mengamuk sambil mengeluarkan pisau serta memecahkan cermin kedai stesen minyak itu,” katanya.


Sumber berkata, tidak cukup dengan itu, suspek seperti dirasuk apabila memecahkan dan merosakkan cermin kereta milik pengurus terbabit yang diparkir berhampiran selain mengambil semua wang tunai di kaunter sebelum melarikan diri.


Jelasnya, selepas itu, kira-kira jam 2.58 petang, suspek dikatakan pergi ke sebuah bank di Dataran Austin, Gong Badak, Kuala Nerus, sebelum mengamuk dengan memecahkan peralatan-peralatan sedia ada di dalam bank berkenaan tanpa diketahui sebab musabab.


“Tanpa menghiraukan orang awam yang ada di lokasi, suspek terus mengamuk dengan menikam barang-barang di dalam bank termasuk televisyen dan meja menggunakan sebilah pisau memotong daging yang dibawanya,” katanya.


Kata sumber lagi, masih tidak berpuas hati, suspek seterusnya pergi ke sebuah lagi bank berhampiran iaitu kira-kira jam 3.15 petang, sebelum mengamuk sambil mengacukan pisau sama ke arah pekerja dan orang ramai yang ada di dalam bank itu.


“Bukan itu sahaja, suspek turut mengugut dengan bertanyakan sama ada nak mati atau tidak sebelum menikam barang –barang di dalam bank termasuk komputer, telefon dan meja kaunter menggunakan pisau ditangannya.


“Masih tidak reda, 15 minit kemudian, suspek dikatakan sekali lagi mengganggu ketenteraman orang awam dengan mengamuk di sebuah pasar raya di Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Nerus, kira-kira jam 3.30 petang,” katanya.


Sumber berkata, setibanya di pasar raya tersebut, suspek terus mengamuk dengan memecahkan segala barang jualan dengan cara menikam menggunakan pisau sedia ada sebelum melarikan diri.


Namun usaha suspek menyembunyikan diri tidak berhasil apabila ditahan polis sejurus menerima empat laporan berkaitan kejadian.


Sementara itu, semalam, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistert Kuala Terengganu Roszita Md Saad membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.


Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan niat merosakkan harta benda.


 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]