Melaka United anggap spekulasi nakal

in Sukan by


PERSATUAN Bola Sepak Melaka United (Musa) tidak berminat menyunting dua pemain import yang baru digugurkan Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera dan Gabriel Guerra, lapor MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID.


Pengurus Melaka United, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, duo Argentina itu tiada dalam perancangan mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2018.


Beliau sebaliknya menyifatkan spekulasi berkenaan sebagai satu usikan nakal.


“Kita tak berminat dengan Cabrera dan Guerra kerana kita sudah ada pemain posisi itu. Buat masa ini kita sudah dapatkan satu pemain dari Perancis dan satu dari Portugal.


“Kedua-dua pemain itu sudah pun menandatangani pra-kontrak bersama kami dan hanya menunggu mereka tiba pada hujung bulan ini untuk memberikan kontrak rasmi.


“Mereka pilihan ketua jurulatih Melaka United dan saya tidak mencampuri pemain import yang dipilih itu,” katanya.


Mengenai perkembangan Mohamed Ghaddar yang dipinjamkan JDT untuk menyertai Melaka United, Yusoff berkata, pemain kelahiran Lubnan itu masih membisu.


“Kami masih menanti jawapan Ghaddar. Kalau diikutkan dia memang kena datang sebab JDT dah lepas kan dia.


“Tapi sampai hari ini belum ada kata putus. Kami sebenarnya tidak mahu Ghaddar datang ke sini secara paksa. Kita nak jawapan dia sendiri. Kalau dia tak nak, kita pun tak mahu dia,” katanya.


Yusoff mengakui masih belum membuat keputusan berkaitan kuota import Asia Tenggara.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]